KUALA LUMPUR – “Semua yang berlaku akan sembuh dengan sendirinya.”
Demikian kata pendakwah selebriti, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid yang masih tersenarai sebagai seorang daripada pemegang tauliah mengajar agama Islam di Perak sehingga 1 April 2029.
Bagaimanapun, mengulas tentang status tauliah di negeri Selangor yang masih ditarik balik, Don, 41, berkata, beliau sangat menghormati keputusan ulil amri atau pemimpin.
Katanya lagi, beliau adalah seorang individu yang sangat transparen kerana tiada apa-apa untuk disembunyikan daripada pengetahuan umum.
“Saya hormat ulil amri dari dulu sampai sekarang. Percakapan saya insya-Allah tidak akan dinafikan oleh mana-mana pihak.
“Sebab saya bukan orang yang sembunyi dalam gua. Saya bukan orang yang guna akaun (media sosial) palsu dan bukan juga orang di sebalik tabir yang khalayak tak kenal.
“Untuk pengetahuan semua, saya bukan di-ban (digam) program-program televisyen. Saya hanya diberhentikan daripada program Salam Baitullah. Walaupun tiada hitam putih, kita hormat semua itu,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Ditemui pada majlis sidang media pelantikan dirinya sebagai duta kebaikan Alkhair Malaysia, Don berkata, ada banyak lagi isu penting lain yang perlu dititikberatkan berbanding perihal melibatkannya.
“Ada banyak lagi isu yang perlu diberi perhatian dalam dunia ini seperti kebuluran dan sebagai. Apa yang berlaku kepada saya hanyalah ujian kecil untuk dijadikan pengajaran buat diri dan orang sekeliling.
“Alhamdulillah, rezeki untuk saya itu sentiasa ada. Orang cakap, satu pintu kalau tertutup, sepuluh pintu lagi terbuka, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Don masih tersenarai sebagai seorang daripada pemegang tauliah mengajar agama Islam di Perak sehingga 1 April 2029.
Nama beliau masih tersenarai dalam edaran yang dikongsikan menerusi laman Facebook Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Ustaz Don merupakan antara 104 individu dalam kategori individu berasal dari luar Perak yang memegang tauliah berkenaan bagi tempoh sah bermula 2 April 2024 hingga 1 April 2029.
Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila status tauliah Ustaz Don di negeri Selangor ditarik balik berkuat kuasa 24 Julai 2024. – KOSMO! ONLINE