BAGAN SERAI – Sebanyak 340 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dari sebuah premis di sini kira-kira pukul 11.30 pagi semalam yang mengenakan syarat sebelum membenarkan pengguna membelinya.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kes tersebut diadukan kepada orang awam kepada pihaknya yang mana perkara terbabit disahkan oleh KPDN Cawangan Parit Buntar ketika mereka melaksanakan Ops Tiris di lokasi terbabit.
Katanya, satu operasi penyamaran sebagai pembeli telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN.
“Ketika penyamaran dilakukan, anggota telah cuba membeli dua peket minyak masak 1kg dan hasilnya penjaga premis memaklumkan minyak masak peket 1kg hanya boleh dibeli sekiranya telah membuat pembelian barangan lain minima RM50 di premis tersebut.
“Berdasarkan maklumat tersebut, sepasukan anggota beruniform telah masuk ke premis dan telah membuat pemeriksaan menyeluruh,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemukan sebanyak 340 peket minyak masak 1kg pelbagai jenama di premis berkenaan.
Katanya, seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan telah diambil keterangan.
“Siasatan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan mengaku telah mengenakan syarat pembelian sebanyak RM50 ke atas untuk pembelian barangan runcit sebelum dibenarkan membuat pembelian minyak masak peket sebanyak 2kg.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan tindakan menyita sebanyak 340kg minyak masak peket 1kg di premis terbabit dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM850.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE