PETALING JAYA – Seorang pelajar semester lima Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkongsi cara berbelanja di bawah RM300 sebulan mendapat perhatian ramai.
Menerusi perkongsian oleh Yb.peey atau nama sebenarnya, Farhan, semasa semester 3, dia sering melakukan siaran langsung di TikTok, yang mana dia berkongsi cerita tentang kehidupan di UPSI dan memberi maklumat berguna kepada pelajar-pelajar baharu walaupun ada yang mengkritik dengan kata-kata seperti ‘terpaling UPSI’ dan ‘terpaling senior’.
“Alhamdulillah, ramai hamba Allah yang sokong dan memberi hadiah melalui siaran langsung di TikTok. Hasil daripada siaran langsung mengenai UPSI dan ‘live stream game’, saya dapat gunakan untuk belanja makan,” ujar Farhan dalam perkongsiannya.
Farhan juga aktif dalam siaran langsung TikTok, yang membawa kepada jemputan menjadi hos dalam program-program dan sebagai pengulas e-sukan untuk pertandingan Mobile Legends.
“Bayaran yang saya terima daripada program kecil ini cukup untuk menampung duit belanja. Saya jarang menolak kerana setiap peluang yang datang adalah untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Dia turut berkongsi pengalaman menyertai organisasi kolej, yang memberikannya pelbagai manfaat, termasuk makanan percuma.
“Sejak aktif dalam organisasi kolej dan diberi amanah sebagai Exco Sukan di Kolej MMK, saya sering terlibat dalam pelbagai program dan acara. Setiap minggu ada program, dan kebanyakannya menyediakan makanan. Jika program berlangsung sepanjang hari, makanan yang disediakan cukup untuk mengenyangkan,” tambahnya.
Selain itu, semasa bulan Ramadan, Farhan turut diberi peluang menjadi imam atau bilal surau untuk solat terawih dan memperoleh elaun.
“Saya juga membantu senior menjadi pelari untuk acara-acara kecil dan kadang-kadang menerima komisen atau makanan percuma,” tambahnya.
Farhan mengakui bahawa kehidupan sebagai pelajar bukanlah mudah. Namun, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima dan mengutamakan kesederhanaan.
“Waktu malam, saya makan nasi bujang, dan berbelanja kurang dari RM10 sehari. Kadang-kadang saya masak nasi dengan lauk telur,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha dan sikap positif yang ditonjolkan oleh Farhan.
“Orang macam adik ni hantar mana pun akan hidup. Saya bangga ada anak muda seperti ini. Mungkin adik ni bakal pendidik. Anda orang terpilih,” ujar Nur Ati.
“Sedih baca sebab kami lalui benda yang sama juga. Makan nasi ayam bahagi dua untuk tengah hari dan malam. Kawan-kawan lain keluar jalan-jalan, kita duduk dalam bilik je sebab nak jimat duit. Alhamdulillah pernah rasa susah,” komen MikaylaZri.
“Sangat positif. Sharing macam ni yang patut diambil oleh adik-adik yang nak sambung belajar. Bersyukur dan usaha,” kata Bulansatu30. -KOSMO! ONLINE