PETALING JAYA – Semua pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Giatmara diwajibkan menduduki ujian khas bacaan al-Fatihah dan fardu ain.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika gagal ujian itu, Mara akan buat program khas intervensi pengukuhan fardu ain untuk mereka.
“Mungkin ada pihak memandang remeh, tapi daripada pengalaman pegawai-pegawai Giatmara ada pelajar yang tunggang-langgang bacaan al-Fatihah mereka.
“Jika (bacaan) al-Fatihah pun bermasalah, macam mana ibadah asas solat nak disempurnakan. Ini belum lagi aspek fardu ain dan bacan al-Quran yang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, agenda TVET negara mesti diintegrasikan dengan elemen pembinaan jati diri dan kerohanian.
Kata beliau, Mara tidak mahu sekadar melahirkan pekerja mahir, tetapi juga pekerja yang punya jati diri, akal budi dan sahsiah terpuji.
“Elemen keagamaan yang menjadi teras utama pembentukan jati diri ini juga mesti diperkasakan.
“Sebab itulah, dalam memastikan agenda kerajaan dan aspirasi untuk memartabatkan agenda TVET ini, Mara wajib ambil tanggungjawab sebagai perintis dan peneraju program TVET berimpak tinggi dan pada masa sama menekankan aspek pembinaan insaniah yang holistik dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi,” katanya.
Jelas beliau, Mara adalah institusi terbesar dalam penyedian program TVET dengan jumlah institusi sebanyak 270 Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang menawarkan pelbagai kursus TVET termasuk 232 Giatmara di seluruh Malaysia. – KOSMO! ONLINE