ISKANDAR PUTERI – Cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup masuk 29,113 kilogram tongkeng ayam bernilai RM340,856 berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jumaat lalu.
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, cubaan itu digagalkan semasa memeriksa sebuah lori menghala masuk Malaysia di Kompleks Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini.
“Hasil pemeriksaan bersepadu dibuat, pihak berkuasa menemukan 2,241 kotak berisi tongkeng ayam yang cuba dibawa masuk tanpa permit import Maqis.
“Produk makanan itu juga didapati dibawa masuk tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Edie Putra,bpemandu lori iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan.
“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import Maqis merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE