SEREMBAN – Kerajaan Malaysia berharap agar perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza bermula Ahad lalu kekal setelah 15 bulan serangan berlaku.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini juga sejajar dengan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didokong oleh majoriti negara-negara PBB untuk menyegerakan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Malah menurut beliau, Malaysia juga telah mengambil langkah untuk berundingan dengan Jepun untuk memikirkan kaedah bagi mengumpul dan merancang untuk memulakan pembangunan semula Gaza.
“Kita akan adakan satu konferens iaitu perjumpaan dengan negara-negara yang sepemikiran dan negara-negara lain yang mahu bersama-sama melihat pembangunan semula Gaza dapat dilakukan segera.
“Sepatutnya persidangan ini bulan Julai, tapi kita nak awalkan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah minta supaya disegerakan dan saya telah berhubung dengan rakan sejawat saya serta menunggu respon negara Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan warga emas dan rumah ibadat sempena Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Rembau di Senawang, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE