SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited membantu 94,000 keluarga asnaf di seluruh negeri pada tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, sasaran pihaknya juga adalah meningkatkan taraf hidup 4,500 individu keluar daripada belenggu kemiskinan.
Katanya, ini selepas lebih 4,000 penerima zakat telah melepasi haddul kifayah dan berjaya keluar daripada kategori asnaf pada tahun lalu.
“Ini adalah bukti keberkesanan usaha kami melalui program pembangunan yang telah disediakan untuk golongan asnaf termasuk keusahawanan, kerjaya dan pendidikan peringkat pengajian tinggi.
“Kami komited memperkasakan golongan asnaf di Selangor dengan inisiatif zakat yang dapat me dorongan kehidupan berdikari bukan sekadar bantuan sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah maklum majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah yang berkenan disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kata Anwar, sepanjang tiga dekad penubuhannya telah menyantuni lebih daripada 350,000 penerima zakat dengan pencapaian agihan lebih RM11 bilion.
Ujarnya, pada tahun lalu sahaja seramai 80,000 keluarga asnaf dan lebih 5,000 individu mualaf termasuk mendaftar 13,000 keluarga baharu di Selangor.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ibu pejabat baharu LZS ini direka khusus memenuhi keperluan asnaf dan muzakki dengan purata 100 hingga 120 pelawat setiap hari.
“Ia berfungsi sebagai pusat sehenti yang menggabungkan semua perkhidmatan bagi memastikan LZS dapat memberikan layanan lebih efisien dan cekap kepada pihak berkepentingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE