JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori yang tular menampar kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), minggu lalu, akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 59 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini.
“Kertas siasatan berhubung kes tulara itu telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada Isnin lalu.
“Polis telah mendapat arahan pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Pada 16 Januari lalu, akhbar melaporkan, seorang lelaki bertindak menampar seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru, November lalu hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan.
Kejadian itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) premis pusat pemeriksaan kenderaan di Taman Daya, di sini sebelum tular di media sosial minggu lalu. – KOSMO! ONLINE