JAKARTA – Angka kematian akibat tanah runtuh di Pulau Jawa meningkat kepada 21 dengan lima orang masih hilang semalam, kata beberapa pegawai ketika pasukan penyelamat kesuntukan masa dan berdepan cuaca buruk untuk mencari mangsa.
Hujan di kawasan pergunungan dekat kota Pekalongan dalam wilayah Jawa Tengah mencetuskan bencana tanah runtuh, menyebabkan beberapa jambatan runtuh, manakala sebilangan kediaman serta kereta tertimbus.
“Setakat pagi ini (semalam), kami menemui mayat 21 mangsa dan ada lima yang masih hilang,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Basarnas, dari bandar berdekatan, Semarang, Budiono kepada AFP.
Peralatan berat telah dihantar ke Kampung Kasimpar yang paling teruk terjejas bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di bawah runtuhan rumah-rumah dan sebuah kafe.
“Kami memberi tumpuan di dua lokasi ini dan sungai berdekatan. Mangsa-mangsa mungkin dihanyutkan ke dalam sungai kerana arus deras,” kata Budiono.
Sekurang-kurangnya 13 orang turut cedera dalam bencana tanah runtuh tersebut.
Indonesia cenderung mengalami bencana tanah runtuh semasa musim hujan khususnya antara bulan November hingga April. Bagaimanapun, beberapa kejadian bencana akibat cuaca buruh berlaku di luar musim tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Perubahan iklim turut meningkatkan kekuatan ribut yang membawa kepada hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin lebih kencang.
Pada Mei lalu, sekurang-kurangnya 67 orang terbunuh selepas banjir kilat melanda wilayah Sumatera Barat. – AFP