fbpx

Kelindan lori miliki 13 rekod lampau ditahan bersama 19.2kg dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKAFLI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di tempat letak kereta di Meru kelmarin.

IPOH – Seorang kelindan lori yang memiliki 13 rekod jenayah lampau diberkas bersama 19.2 kilogram (kg) dadah jenis heroin dalam serbuan di tempat letak kereta di Meru, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Kontinjen Perak pada pukul 11.20 pagi.

Katanya, tangkapan dibuat ketika suspek sedang membawa keluar dadah itu dari kerusi penumpang belakang kereta Perodua Bezza dan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

“Hasil pemeriksaan menemui 44 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 19,246 gram. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM220,000.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu dan dadah yang dirampas itu disyaki diedarkan untuk pasaran di negeri ini.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI