LISBON – Mentaliti luar biasa barisan pemain Barcelona menjadi kunci utama kepada kemenangan dramatik 5-4 ke atas Benfica pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Estadio da Luz awal pagi semalam.
Pengendali Barcelona, Hansi Flick memuji semangat juang anak-anak buahnya mengesahkan tempat automatik ke pusingan 16 terbaik pada saingan UCL yang menggunakan format baharu musim ini.
“Perlawanan yang cukup gila, namun perkara paling positif adalah tentang mentaliti kami. Kami mempamer kebangkitan dan ia sesuatu yang cukup hebat.
“Saya tidak fikir kami pernah lalui detik kebangkitan seperti ini dan nyata ia sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Di babak kedua kami bertambah baik dan pemain gantian yang dimasukkan banyak membantu kami,” kata Flick.
Dalam satu ketika, Barcelona berada dalam situasi sukar apabila ketinggalan 1-3, namun babak kedua nyata menjadi pemisah selepas kelab Sepanyol itu cemerlang menghasilkan empat gol.
Terdahulu, Robert Lewandowski dan Rapinha masing-masing menyumbangkan dua gol buat Barcelona diikuti satu lagi jaringan daripada Eric Garcia.
Vangelis Pavlidis turut cemerlang dengan merakam hatrik buat Benfica, manakala jaringan sendiri pemain pertahanan Barcelona, Ronald Araujo menghadiahkan satu lagi gol buat kelab Portugal berkenaan. – AGENSI