PETALING JAYA – Individu yang bermain judi online tergolong dalam kumpulan orang fasik dan secara langsung tidak boleh dijadikan wali nikah.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, tidak kira sama ada seseorang itu pernah berjudi walaupun sekali, mereka termasuk dalam golongan tersebut.
“Ada orang kata dia main saja-saja (suka-suka), nak suasana saja. Maka dia juga tergolong dalam kalangan orang fasik, tidak boleh menjadi wali nikah.
“Hukumnya dia kena bertaubat dahulu, baru boleh jadi wali nikah,” katanya dalam satu klip video soal jawab agama di Youtube baru-baru ini.
Ustaz Azhar berkata, sehingga kini tiada mana-mana individu yang benar-benar kaya kerana judi online, bahkan makin miskin dan banyak wang dihabiskan untuk tujuan tersebut.
“Bulan ini habis dekat RM2,000, cukuplah dah rugi, cuba main dia bagi pula menang RM400. Bulan depan main semula modal RM1,500, menang pula RM200.
“Tiada lagi yang kaya, last-last (akhirnya) curi gelang mak curi cincin ayah, curi duit tok ki. Tak payahlah berjudi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.