SEREMBAN – Dasar baharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk meningkatkan tarif barangan import ke negara berkenaan akan dibincangkan di mesyuarat Kabinet.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar baharu yang diperkenalkan Trump itu adalah secara umum dan Malaysia juga merupakan antara negara rakan dagang AS yang besar.
Malah menurut beliau, selain dasar terbaharu berkenaan, perkembangan terkini selepas Trump mengangkat sumpah, Isnin lalu sebagai presiden negara itu yang ke-47 juga akan turut dibincangkan di Kabinet.
“Kita merupakan pengeksport barangan elektronik dan elektrik. Sedikit sebanyak, ia akan menjejaskan ekonomi negara kita terutamanya dengan cadangan mereka untuk meningkatkan tarif barangan import ke AS.
“Jadi Kerajaan sedang meneliti, Wisma Putra sedang meneliti. Kita akan melihat perkembangan terkini ini dan akan membawa perkara ini ke kabinet untuk dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan warga emas dan rumah ibadat sempena Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Rembau di Senawang, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE