KUALA LUMPUR – Isu jurang gaji antara siswazah wanita dengan lelaki di Malaysia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Perkara itu kita akan berbincang dengan Kesuma kerana bukan di bawah kementerian ini juga, namun perlu disuarakan sebab melibatkan wanita.
“Insya-Allah, esok kita ada mesyuarat Kabinet. Jadi, saya ambil jalan cepat untuk bawa kepada Kabinet bagi menyuarakan kepada pihak Kesuma,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Eksekutif Siri 1/2025 “Cabaran Menuju Ke Puncak Kepimpinan” di sini hari ini.
Terdahulu, Nancy menegaskan jurang gaji antara siswazah wanita dan lelaki tidak sepatutnya berlaku memandangkan kedua-duanya memiliki kelayakan akademik yang setaraf.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Statistik Siswazah 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang menyatakan graduan wanita secara purata mendapat gaji RM900 lebih rendah berbanding lelaki meskipun memiliki kelayakan akademik setara. – KOSMO! ONLINE