PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan pihaknya hanya menunggu persetujuan kerajaan berhubung perincian mengenai langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
KPKM dalam satu kenyataan turut menegaskan bahawa setiap isu berkaitan padi dan beras hendaklah dirujuk kepada pihak berautoriti supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat.
Katanya, KPKM sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras secara menyeluruh.
“Ini bagi meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
“Langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberaddan beras putih tempatan (BPT) di pasaran akan dimaklumkan setelah perincian mengenainya dipersetujui oleh kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai seorang yang gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu berkait BPT apabila ia sudah berlarutan lebih dua tahun.
Dakwa Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras dilihat tidak berkesan untuk membantu menteri mencari penyelesaian.
Syed Abu Hussin Hafiz turut menggesa kerajaan untuk meletakkan portfolio urusan padi dan beras padi di bawah NACCOL dan akan mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.- KOSMO! ONLINE