fbpx

Ipoh Sentral perkasa jaringan pengangkutan awam, ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (dua dari kiri) menyaksikan pemeteraian MoU pembangunan Ipoh Sentral antara Ipoh Sentral Sdn. Bhd. dan Country Annexe Sdn. Bhd. di Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Ipoh bakal memiliki hab transit tersendiri seperti Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), menerusi pembangunan Ipoh Sentral yang terletak di belakang Stesen Keretapi Ipoh.

Projek itu mempunyai nilai pembangunan kasar RM6.25 bilion melibatkan keluasan tanah 27 hektar dan dibangunkan secara berperingkat selama 20 tahun bermula tahun 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu akan memberi manfaat besar kepada Perak dan juga negara dari segi jaringan pengangkutan awam serta aktiviti ekonomi.

Beliau memberi jaminan, projek itu tidak akan menjejaskan warisan sejarah Stesen Keretapi Ipoh dan sekitarnya yang berusia lebih 100 tahun.

“Bangunan Keretapi Ipoh itu tidak akan disentuh kerana kawasan yang dibangunkan itu di belakang stesen. Stesen sedia ada tidak akan ada apa-apa kesan.

“Stesen Ipoh cukup bersejarah dan mempunyai nilai warisan yang cukup tinggi. Tuanku Sultan Perak juga bertitah supaya kita memelihara bangunan Stesen Ipoh ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan memorandum perjanjian antara Ipoh Sentral Sdn. Bhd. (ISSB) dan Country Annexe Sdn. Bhd. (CASB) untuk membangunkan Ipoh Sentral yang dianggap sebagai pembangunan berorientasikan transit (TOD).

ISSB dibentuk oleh anak syarikat di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI