PETALING JAYA – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin telah memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi sekali gus memohon dilepas dan dibebaskan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh.
Menurut Haresh, kedua-dua guamnya selaku pemohon memfailkan notis usul menerusi Tetuan Wong&Co. pada 21 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Justeru dengan permohonan notis usul itu, pihak pembelaan memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan pada 3 Februari ini ditangguhkan sementara.
Semasa prosiding, peguam itu berkata, pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.
“Kami juga telah menyerahkan salinan (permohonan notis usul) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam melalui email. Sekiranya perbicaraan dijalankan tanpa keputusan berhubung permohonan itu, perbicaraan kes akan menjadi sia-sia,” kata peguam itu.
Mendengar makluman itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengesahkan permohonan yang dikemukakan kedua-dua tertuduh.
“Permohonan (notis usul) baru masuk dua hari lepas, jadi pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan pada minggu depan bagi mengemas kini dan mengetahui status permohonan ini,” kata Raja Zaizul.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Syahlizah kemudian menetapkan 28 Januari ini bagi pengurusan kes.
Sementara itu, berdasarkan dokumen notis usul dan afidavit sokongan yang diperoleh daripada pihak pembelaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kami membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.
“Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami, oleh itu kami tidak dapat menyediakan pembelaan,” kata mereka.
Dokumen itu turut menyatakan kedua-dua pemohon percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sekaligus tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Kami benar-benar percaya pertuduhan itu harus diketepikan dan dibatalkan kerana kekurangan butiran yang serius,” kata dokumen itu lagi yang menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Dalam pada itu, menerusi permohonan notis usul pula, pemohon-pemohon berkata semua pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan telah diprejudiskan dengan serius selain memohon dibebaskan serta-merta.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memberitahu kesemua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Mahkamah telah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari dan perbicaraan akan bermula pada 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14. – KOSMO! ONLINE