PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya mendapat tonik terbaik bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 selepas melancarkan jersi terbaharu daripada Puma sebagai simbolik bermulanya ‘revolusi’ baharu bola sepak negara.
Jersi utama atau jersi ‘home’ edisi kali ini kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan manakala jersi kedua atau jersi ‘away’ juga terus dikekalkan warna hitam sebagai warna utama.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jersi kali ini dilancarkan sesuai dengan era baharu skuad Harimau Malaya yang kini mempunyai pengurusan yang lebih eksklusif.
“Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran jersi baharu itu sebentar tadi.
Majlis pelancaran jersi berkenaan turut menampilkan beberapa tonggak kebangsaan antaranya Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Nooa Laine yang menggayakan kedua-dua rekaan baharu jersi utama dan ‘away’ atau tempat lawan selain penampilan istimewa ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski.
Jersi edisi terhad dengan teknologi Ultraweave itu dijual dengan harga yang RM319 itu dan boleh dibeli di butik Puma terpilih di seluruh negara bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE