BANGKOK – Beratus-ratus perkahwinan sejenis berlangsung di Thailand hari ini ketika undang-undang perkahwinan saksama berkuat kuasa dengan pelakon gay berprofil tinggi menjadi antara pertama berbuat demikian.
Aktor Apiwat ‘Porsch’ Apiwatsayree, 49, dan Sappanyoo ‘Arm’ Panatkool, 38, diberikan sijil perkahwinan jalur merah jambu di sebuah pejabat pendaftar di Bangkok.
“Kami berjuang untuk ini selama berdekad-dekad dan hari ini adalah hari yang hebat,” kata Arm.
Perkembangan itu menyaksikan Thailand menjadi negara terbesar di Asia yang mengiktiraf perkahwinan sejenis selepas Taiwan dan Nepal.
“Hari ini bendera pelangi berkibar megah di Thailand,” kata Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra di laman X.
Undang-undang baharu itu menggunakan terma neutral jantina bagi menggantikan perkataan lelaki, wanita, suami dan isteri. Ia turut memberikan hak kepada golongan transgender untuk berkahwin, mengambil anak angkat di samping hak mewarisi harta kepada semua pasangan yang berkahwin.
Pasangan wanita, Sumalee Sudsaynet, 64, dan Thanaphon Chokhongsung, 59, adalah yang pertama berkahwin di pejabat daerah Bangkrak, manakala mereka menunjukkan cincin pertunangan kepada pihak media.
“Kami sangat gembira. Kami menanti hari ini selama 10 tahun,” kata Thanaphon.
Lebih 30 negara meluluskan perkahwinan sejenis sejak Belanda menjadi yang pertama berbuat demikian dalam tahun 2001. – AFP