BINTULU – Satu letupan berlaku di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba Samalaju, Irwin Abidin berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas hidrogen yang terkumpul dalam vesel penapis kilang terbabit.
“Kawasan yang terjejas meliputi 35 meter persegi, dengan kerosakan pada dinding panel perlindungan seluas empat meter persegi. Tiada kerosakan pada paip atau vesel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata tiada tindakan pemadaman kebakaran diperlukan kerana kebakaran tidak berlaku dan pasukan bomba hanya melakukan pemantauan serta mengumpul maklumat daripada pihak kilang mengenai kejadian. – KOSMO! ONLINE