PETALING JAYA – Seorang wanita warga tempatan mendakwa gambarnya disunting dalam keadaan tidak berpakaian sebelum dimuat naik serta dijual di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan susulan laporan diterima pada pukul 4.13 petang, Isnin lalu.
“Wanita berkenaan mendakwa gambarnya disunting dalam keadaan tidak berpakaian serta dimuat naik di satu aplikasi laman sosial dan dijual RM18 sekeping.
“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Shahrulnizam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. – KOSMO! ONLINE