PETALING JAYA – FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) telah menjalinkan kerjasama dengan Arus Academy bagi program Fun(d) for Life – Edisi Uni (FFL Uni) khusus meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Mak See Sen berkata, inisiatif itu bertujuan untuk memperkasa 500 orang pelajar daripada universiti awam dengan kemahiran kewangan melalui kurikulum yang merangkumi latihan, bimbingan, dan aktiviti khidmat masyarakat.
Jelasnya, pada akhir program sepanjang tiga bulan itu, pelajar akan menerima pemindahan tunai sebanyak RM3,000 dalam bentuk simpanan atau deposit tetap membolehkan mereka membina kebebasan kewangan dan memupuk tabiat positif untuk masa depan mereka.
“Di FWD Insurance, celik kewangan adalah sesuatu yang amat dekat di hati kami, kerana kami percaya ia kemahiran asas yang perlu dimiliki oleh setiap individu.
“Melalui program ini, kami melangkaui aspek pendidikan dengan menawarkan pendekatan holistik yang bukan sahaja melengkapkan golongan muda dengan kemahiran mengurus kewangan, tetapi juga menyediakan sumber untuk mereka mengaplikasikan apa yang telah dipelajari,”katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Arus Academy, Alina Amir berkata, program itu juga melengkapkan pelajar universiti dengan kemahiran kewangan dan autonomi untuk membuat keputusan yang bijak mengenai masa depan mereka.
“Pelajar universiti berada pada peringkat umur yang penting dalam hidup mereka dalam pembentukan tabiat kewangan yang kukuh dapat memberi impak besar kepada matlamat mereka di masa hadapan sama ada dalam bidang kerjaya mahupun kehidupan peribadi,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE