KOTA BHARU – Dua sekawan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah pesara kerajaan untuk mencuri peti besi berisi barangan bernilai RM1.1 juta minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hazim Maula, 30, dan Muhamad Rais Afnan Mohd., 29, yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mereka didakwa melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini pada pukul 12.20 tengah malam, 16 Januari lalu.
Selain itu, Muhamad Rais turut mengaku bersalah kerana memiliki buku lima tanpa kebenaran pada pukul 6.45 petang di Jalan Pengkalan Chepa di sini hari sama.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan dua lelaki yang melarikan peti besi berisi wang, barang emas, perak dan jam tangan berjenama bernilai RM1.1 juta selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Paya Rambai akhirnya diberkas polis.
Kejadian disedari mangsa sewaktu pulang ke rumah bersama ahli keluarganya dari Sarawak pada hari kejadian. – KOSMO! ONLINE