PUTATAN – Dua pegawai bomba cedera akibat terkena renjatan elektrik sewaktu operasi memadam kebakaran di kediaman tingkat 4, sebuah bangunan di Jalan Pantai Berahi, Petagas malam tadi.
Bagaimanapun, keadaan kedua-dua pegawai terbabit kini dilaporkan stabil.
Pegawai Bomba, Amran Amir, 34, terpaksa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut, manakala Pegawai Bomba Kanan II, Sharif Faizul, 38, menerima rawatan di lokasi kejadian oleh pasukan EMRS.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian terbabit pada pukul 11.59 malam tadi sebelum seramai 37 pegawai dan anggota dari BBP Putatan dengan dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah atas kedai tingkat empat terbakar sepenuhnya,” katanya – KOSMO! ONLINE