MANCHESTER – Krisis dalaman yang melanda Manchester United kian parah di kala mereka sedang melakukan persiapan menjelang aksi Liga Europa menentang Rangers di Old Trafford awal pagi esok.
Difahamkan, pengurus pasukan, Ruben Amorim gagal membendung kemarahan sehingga beliau bertindak memecahkan televisyen di dalam bilik persalinan ketika tewas 1-3 kepada Brighton Ahad lalu.
Berdasarkan sumber dalaman, televisyen itu digunakan oleh pasukan bagi merencana taktik ketika perlawanan dan ia masih belum diganti menjelang pertemuan penting menentang Rangers nanti.
Situasi itu dijangka mampu merosakkan keharmonian pasukan, lebih-lebih lagi Amorim turut melabelkan United ketika ini sebagai skuad paling teruk yang pernah disaksikan dalam sejarah The Red Devils.
Pengendali dari Portugal itu berkata, beliau sedar dengan cabaran sedang dihadapi United selain percaya pemain-pemainnya mampu untuk memahami falsafah bola sepak yang cuba diterapkan itu.
“Saya tahu memang sukar untuk menerapkan idea baharu dalam pasukan pada ketika ini, ditambah pula kami tidak bernasib baik dengan beberapa keputusan. Kekalahan menyebabkan tugas itu menjadi lebih sukar.
“Sebagai jurulatih, saya perlu membantu pemain-pemain untuk bermain dengan corak permainan yang dimahukan. Sekarang kami mahu kembali fokus dan bersiap sedia untuk perlawanan menentang Rangers,” kata Amorim.
United bakal mengukuhkan cengkaman dalam kelompok lapan teratas saingan Liga Europa bagi mendapatkan slot automatik ke pusingan kalah mati sekiranya menewaskan Rangers awal pagi esok. – AGENSI