GOMBAK – Polis mengesan individu disyaki ceti haram yang menampal notis ugutan sebelum membakar halaman rumah di Taman Desa Jaya, di sini pada 18 Januari lalu.
Menerusi video tular di media sosial, suspek membaling botol plastik berapi ke halaman rumah itu sebelum melarikan diri pada pukul 4.55 petang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 30 tahun pada pukul 5.51 petang hari kejadian.
“Kejadian berpunca daripada hutang yang dibuat adik pengadu dengan pihak peminjam wang disyaki along berdasarkan notis ugutan yang ditampal pada pagar rumah.
“Bagaimanapun, adik pengadu telah meninggal dunia pada Disember lalu di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan individu terlibat masih belum dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Faris Nur Shuhaini di talian 017-3166051 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menerusi 03-61262222.
Terdahulu seorang pengguna X mendedahkan sebuah rumah dibakar individu disyaki along kerana hutang anak mereka yang telah meninggal dunia.
“Saya terima aduan ah long membakar rumah ibu bapa di Desa Jaya, Kepong, walaupun anak mereka telah meninggal dunia akibat dipercayai terjatuh dari tingkat tinggi sebuah hotel di Johor.
“Dua laporan @PDRMsia (polis) telah dibuat,” katanya dalam hantaran 21 Januari lalu. -KOSMO! ONLINE.