BALING – Seorang jurutera bukan hanya tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Tanah Periuk di sini dibakar, malah terpaksa menerima hakikat tujuh ekor kucing kesayangannya rentung.
Adnan Hasan, 40, berkata, dia tidak mengenali pelaku kes tersebut kerana tinggal di kampung berlainan.
“Saya tidak bekerja di kilang getah. Kenapa rumah saya menjadi sasaran? Rumah pusaka berusia 100 tahun yang saya diami selama ini musnah dalam sekelip mata sehingga kerugian lebih RM300,000.
“Ketika kejadian, saya dan isteri berada di Kuala Perlis kerana mahu ke Langkawi. Selain harta benda, tujuh ekor kucing dalam sangkar juga rentung,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, isteri Adnan, Nurul Atiqah Shafie, 38, memberitahu, kejadian itu berlaku pada pukul 2 pagi, 25 Disember lalu.
“Sebaik sampai di rumah, saya dan suami mendapati tujuh ekor kucing yang diberi nama Citot, Ireng, Owa, Oyo, Mek, Jahe, dan Ginger bergelimpangan dan rentung,” katanya.
Katanya, sangkar kucing itu berada berhampiran motosikal yang dibakar suspek jadi tidak sempat diselamatkan jiran kerana api marak menyambar rumah kayu tersebut.
“Kucing-kucing itu terperangkap. Saya tidak dapat membayangkan seksanya sebelum mati, hanya Joker, Lola, Omok, Dobby yang sempat selamatkan diri.
“Bangkai-bangkai kucing itu suami saya tanam di belakang rumah. Sampai ke saat ini hati saya sedih apabila mengenangkan nasib kucing-kucing tersebut,” katanya.-KOSMO! ONLINE