fbpx

5 negeri dikesan berhadapan masalah air tidak berhasil 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis Pemeteraian Pelan Tindakan antara SPAN dengan SAP di Ibu Pejabat SPAN, Cyberjaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

CYBERJAYA – Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang merupakan antara lima negeri yang dikesan berhadapan dengan masalah air tidak berhasil (NRW) tertinggi di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, daripada kesemua lima negeri tersebut, Perlis merekodkan kadar NRW melebihi 60 peratus.

“Isu NRW ini merupakan satu masalah besar yang dihadapi oleh kebanyakan negeri di seluruh Malaysia. Kalau kita nampak hari ini yang berlaku di Perlis, kadar NRW itu lebih kurang 62 peratus, itu terlalu tinggi.

“Ini bermaksud bagi setiap RM100 yang dikeluarkan, RM60 itu hilang. Jadi mereka hilang lebih daripada 50 peratus daripada apa yang dikeluarkan, justeru ia adalah kehilangan besar kepada pihak operator.

“Masalah yang sama turut berlaku di negeri Kedah dengan 58 peratus NRW, sama juga dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang (tetapi) Perlis yang tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Pelan Tindakan dengan Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) sebagai usaha mentransformasi perkhidmatan bekalan air di negeri Perlis di Ibu Pejabat SPAN di sini hari ini.

Pelan tindakan itu telah ditandatangi antara Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bekalan Air Negeri Perlis, Ir. Syed Mohamed Adnan Mansor Alhabshi bersama Ketua Pegawai Eksekutif SAP, Ir. Ts. Dr. Mohmad Asari Daud dengan turut disaksikan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI