PASIR MAS – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar lokasi persembunyian 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat kanak-kanak warga Myanmar selepas menyerbu sebuah rumah tekong darat di Kampung Chenerai Alor Pasir di sini semalam.
Serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 5.30 pagi selepas PGA menerima maklumat berkaitan penyeludupan PATI di rumah tersebut semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai dua lelaki termasuk masing-masing empat wanita dan kanak-kanak warga Myanmar.
Menurutnya, kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan perjalanan sah untuk masuk ke negara ini.
“Mereka dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang juga merupakan pemilik rumah tersebut turut ditahan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, siasatan mendapati, lelaki itu dipercayai berperanan sebagai tekong darat untuk menyeludup kesemua PATI ke negara ini.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah di sini untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, 10 PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang tekong itu pula ditahan di bawah Seksyen 26H Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. – KOSMO! ONLINE