KUALA LUMPUR – Sebak sehingga mengalirkan air mata, pelakon Tracie Sinidol mengakui cabaran hidup sebagai anak perantau bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila berjauhan dengan keluarga tersayang.
Ujar Tracie, 24, pengalaman paling menyedihkan baginya adalah ketika menerima berita nenek meninggal dunia sewaktu dia menjalani penggambaran sebuah drama.
“Menjadi anak seni yang bukan dari Semenanjung, susah apabila berjauhan dengan keluarga. Terlalu banyak dugaan tidak dijangka selain terlepas banyak momen berharga, perit tak dapat tengok adik-beradik membesar depan mata.
“Momen paling sedih adalah waktu dapat berita nenek saya meninggal dunia. Ketika itu, saya berada dalam hutan menjalani penggambaran.
“Perasaan saya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hati membuak-buak nak balik, tetapi tiket penerbangan ke Sabah tiada. Situasi itu amat menyakitkan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Meskipun hatinya seperti dirobek, sumandak Sabah itu tetap berusaha untuk kuat demi mencari rezeki di Semenanjung Malaysia selain enggan membuatkan keluarga di kampung kerisauan.
“Saya hanya mahu buat yang terbaik. Saya cuba untuk nampak kuat walaupun dalam hati menanggung gelojak perasaan.
“Biarlah kesusahan saya di sini, saya sahaja yang tahu. Saya percaya ini juga cara Tuhan mahu saya lebih kuat.
“Keputusan untuk pendam segalanya diambil demi memastikan keluarga di Sabah tidak bimbang dengan keadaan saya,” kongsinya pada majlis tayangan perdana drama Viu Gadis Masa, di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, juara Dewi Remaja itu kini membintangi drama bersiri Gadis Masa terbitan Viu Originals yang akan ditayangkan bermula 23 Januari ini.
Selain Tracie, drama tersebut turut menampilkan pelakon seperti Syafiq Kyle, Mira Filzah, Bella Dowanna, Fadlan Hazim dan Nadia Aqilah. – KOSMO! ONLINE