PETALING JAYA – Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad menjangkakan peningkatan trafik mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di semua lebuh rayanya bermula Jumaat ini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata, ia merupakan peningkatan hampir 20 peratus terutama pada hari puncak.
“Jangkaan hari puncak di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 adalah pada 24 hingga 25 Januari serta 31 Januari hingga 1 Februari depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar taklimat PLUS bagi persediaan operasi lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina di Menara Korporat, Persada Plus. di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, PLUS mengambil tiga pendekatan strategik sebagai persediaan menghadapi peningkatan trafik.
Menurutnya, ia termasuk pengaktifan laluan Smart Lane di 25 lokasi kritikal dan mempertingkat kesiapsiagaan aset dan anggota pasukan tindakbalas kecemasan (ERT) untuk menguruskan insiden lebuh raya.
“Melalui penggunaan aplikasi MyPLUS-TTA pula, pengguna lebuh raya dijangka dapat menjimatkan tempoh waktu perjalanan lebih 40 peratus bergantung kepada keadaan trafik semasa, insiden atau hal-hal luar jangka.
“Selain itu, PLUS juga telah menambahbaik kemudahan awam di lebih 50 lokasi dan menambah 50 tandas kabin bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa,” ujarnya.
Tambahnya, PLUS turut menyediakan kira-kira 4,500 petugas di lokasi ditetapkak bagi memberi bantuan untuk melancarkan perjalanan pengguna. – KOSMO! ONLINE