SUNGAI PETANI – Terinspirasi dengan kejayaan ibu, seorang usahawan terus mengorak langkah menggalakkan lebih ramai orang menyimpan emas sebagai aset masa depan menerusi Program Jom Menabung bersama Kedai Emas Hajjah Halijah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Hajjah Halijah Sdn. Bhd., Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, kejayaan ibunya, Halijah Saad sebagai pengasas kedai emas yang hanya bermula daripada menyimpan sedikit logam itu sehingga membina legasi perniagaan boleh dijadikan semangat bagi menggalakkan orang ramai menyimpan emas.
“Ibu saya hanya bermula dengan kutu emas. Dia ajak kenalan terdiri pelbagai latar belakang pekerjaan untuk main kutu emas, dia kutip-kutip duit dan beri emas kepada mereka. Dari situ dia ajar mereka untuk menyimpan emas sebagai aset.
“Kini mandat itu diberikan kepada saya, namun bukan sekadar untuk menguruskan legasi Kedai Emas Hajjah Halijah, tetapi menyambung usaha ibu untuk mendidik orang ramai menyimpan emas sebagai aset masa depan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jom Menabung bersama Kedai Emas Hajjah Halijah dan Majlis Makan Malam Bersama Pelanggan cawangan Sungai Petani, di sini kelmarin.
Katanya, program tersebut merupakan program menyimpan emas patuh syariah.
“Pelaksanaan program tabungan emas ini berkonsepkan simpanan mengikut berat. Peserta boleh memulakan simpanan emas serendah 0.3 gram dengan pilihan jenis emas 916 atau 999.
“Dengan hanya mengenakan bayaran simpanan paling minimum RM100 untuk emas seberat 0.3 gram, kita harap program ini dapat disertai pelbagai lapisan masyarakat. Kita tak perlu kaya untuk simpan emas, tapi simpanlah emas untuk lindungi kekayaan di masa depan,” ujarnya.
Jelasnya, setiap pembelian emas untuk simpanan itu mempunyai tempoh matang selama 30 hari dan peserta boleh membuat penebusan di cawangan mereka di Sungai Petani atau Kangar, Perlis.
“Selain itu, penebusan juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform rasmi laman web Kedai Emas Hajjah Halijah.
“Setakat ini, seramai 1,487 peserta menyertai program itu dan kita harap lebih ramai pelanggan Kedai Emas Hajjah Halijah dapat menggunakan kesempatan ini untuk membuat simpanan emas sebagai aset mereka kerana nilai apungannya lebih tinggi,” ujarnya.
Kedai Emas Hajjah Halijah turut menawarkan koleksi rekaan tas tangan emas dengan reka bentuk eksklusif menggunakan 100 peratus emas tulen 916 dengan berat emas bermula daripada 500 gram. -KOSMO! ONLINE