KUALA LUMPUR – Tiga individu sudah dirakam percakapan berhubung kejadian menyimbah cat merah di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM) di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, sehiongga kini pihaknya masih giat mengesan pelaku kes tersebut.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh dari semua sudut termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
“Sehingga kini, tiga percakapan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya ringkas.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian simbah cat merah di sebuah kedai serbaneka KK Mart dalam kampus UM pagi semalam.
Ku Mashariman berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.