fbpx

PTPTN bantu pelajar asnaf MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Dasuki (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan bantuan persekolahan dan simpanan dalam Simpan SSPN Prime kepada Anis Nur Fatihah

PETALING JAYA – Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau, Perlis terpilih menerima penajaan elaun persekolahan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bulanan sebanyak RM100 selama lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM6,000.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, Anis Nur Fatihah Ahmad Syahid, 15, merupakan salah seorang pelajar dipilih sebagai anak angkat PTPTN melalui Program Harapan Kasih di bawah Skim Anak Angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

“Sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara ‘one off’ turut diberikan berjumlah RM200. Pelajar turut menerima peranti untuk memudahkan pembelajaran dan bakul makanan berupa barangan keperluan harian bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga ini.

“YPM juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan bakul makanan pada program yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Program Harapan Kasih berkonsepkan ziarah dan ramah mesra, salah satu program kemasyarakatan PTPTN bertujuan memberi motivasi, pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri dan keluarga.

Beliau berkata, melalui Skim Anak Angkat YPM, PTPTN telah memberi penajaan elaun persekolahan dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime secara ‘one off’ kepada 50 anak angkat terpilih dalam kategori asnaf berusia 13 tahun selama lima tahun mulai 2022 hingga tahun 2028 bagi persekolahan tingkatan satu hingga lima.

“Penajaan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM370,000 melalui zakat PTPTN di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),” katanya.

Ahmad Dasuki berkata, dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, PTPTN mengadakan pelbagai program kemasyarakatan bagi meringankan beban dan membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.

“Pada hari ini tumpuan kami adalah untuk memastikan pelajar kategori asnaf dapat meneruskan pengajian mereka dengan bantuan sumbangan daripada PTPTN.

“Diharapkan melalui program ini masalah keciciran persekolahan akibat kemiskinan dapat dikurangkan melalui akses pendidikan yang sama rata,” katanya.

Ujarnya, PTPTN menyambut baik kerjasama dijalinkan bersama YPM dan MAIPs bagi menjayakan program pada hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI