PETALING JAYA – Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berhubung cadangan penambahan lampu di lebuh raya utama.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, perkara itu bagaimanapun perlu diteliti dengan pihak LLM sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apa-apa penambahan fasiliti atau kemudahan di lebuh raya, kita akan bincang bersama LLM.
“Melalui perbincangan itu, kita akan tetapkan (penambahan) itu di mana dan kita sentiasa ada perancangan untuk tambah baik bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya pada sidang akhbar taklimat PLUS bagi persediaan operasi lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus. di sini hari ini.
Sebelum ini, cadangan penambahan lampu di kawasan gelap lebuh raya dibangkitkan yang didakwa berisiko menyebabkan kemalangan.
Terdahulu, dalam kejadian 23 Disember tahun lalu, tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Alor Gajah, Melaka.
Kemalangan yang membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza itu turut menyebabkan 33 yang lain cedera.
Lima daripada mereka yang maut terdiri daripada satu keluarga yang menaiki Toyota Estima. – KOSMO! ONLINE