LONDON – Chelsea akhirnya memecah kebuntuan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan aksi bertenaga selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-1 di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca berpuas hati melihat kebangkitan anak buahnya selepas aksi kurang konsisten dalam beberapa minggu lalu apabila seri tiga dan tewas dua sejak kali terakhir menang 2-1 ke atas Brentford pada 16 Disember lalu.
Tiga gol Chelsea dalam aksi itu diraih menerusi Tosin Adarabioyo pada minit ke-24, Marc Cucurella (m-60) dan Noni Madueke (m-65).
“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik tetapi lima minit terakhir babak pertama, kami hilang keyakinan selepas gol penyamaan lawan. Itu adalah sesuatu yang sering berlaku musim ini,” ujar Maresca.
Namun, pengendali dari Itali itu memuji semangat juang pasukannya yang tidak mengalah pada separuh masa kedua sekali gus melonjakkan motivasi mereka untuk berdepan Manchester City dalam aksi seterusnya awal pagi Ahad ini.
“Kami memberikan reaksi yang hebat. Memulakan separuh masa kedua dengan keyakinan tinggi dan menjaringkan gol adalah petanda positif.
“Selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, kami berjaya mencatat keputusan yang amat penting hari ini,” katanya.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Chelsea ke tangga keempat dengan 40 mata, empat mata di belakang Arsenal dan Nottingham Forest.
Dalam masa sama, Maresca turut mempertahankan rekod pasukannya yang telah bolos 27 gol musim ini, selain menyifatkan statistik itu tidak seharusnya menjadi fokus utama. – AGENSI