SHAH ALAM – Lebih 173 penternak lembu buntu memikirkan nasib mereka apabila diarah membawa keluar 4,000 ternakan mereka dari ladang SD Guthrie di seluruh Selangor ini selewat-lewatnya 31 Januari depan.
Rata-rata mereka terkejut menerima notis sejak 31 Disember lalu susulan syarikat berkenan didakwa sewenang-wenangnya mengeluarkan satu lagi notis menggunakan kenyataan Exco Kemajuan Desa Selangor, Datuk Rizam Ismail yang sebelum ini hanya menyatakan pemindahan lembu bagi penternak di Sabak Bernam sahaja.
Seorang penternak, K. kanmamma, 62 berkata, penternakan lembu tersebut adalah sumber pendapatan utamanya membesarkan empat anaknya yang kini berusia 36 hingga 43 tahun selepas kematian suami sejak 26 tahun lalu.
Kata ibu tunggal itu, dia tidak mempunyai lokasi lain bagi proses pemindahan 100 lembunya yang diternak di ladang Bukit Rotan, Kuala Selangor.
“Menangis saya apabila terima notis itu, tidur pun tidak nyenyak bila fikir mana mahu letak lembu-lembu tersebut.
“Harga lembu pun tidak tinggi dengan anggaran RM1, 600 seekor ketika ini disebabkan lambakan lembu dari Thailand yang dipercayai diseludup masuk dengan dijual RM1, 000 seekor,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Terdahulu, lebih 100 penternak bersama Gabungan Penternak Marhaen Nasional melakukan bantahan sebelum 12 daripadanya yang diketuai salah seorang penyelaras gabungan itu, R. Vijayagandi dibenarkan masuk ke Bangunan SUK bagi memorandum kepada wakil Pejabat Menteri Besar Selangor.
Antara tuntutan memorandum itu adalah kerajaan negeri harus menarik balik kenyataan dikeluarkan Rizam dalam sidang akhbar pada 19 Disember.
Tuntutan itu juga mendesak campur tangan kerajaan negeri supaya SD Guthrie membatalkan notis tersebut selain mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan tidak membantu SD Guthrie menangkap lembu ternakan di dalam kawasan ladang.
Bagi R. Sheila, 42, yang merupakan generasi kedua penternak mahu solusi terbaik dan bukannya pengusiran dibuat pihak syarikat berkenaan.
Sementara itu, Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, S. Thiangaran menegaskan tindakan syarikat itu tersebut amat licik dan tersusun dalam mengeluarkan semua penternak hasil satu kenyataan dikeluarkan Exco Selangor.
“Daripada hanya 20 penternak di Sabak Bernam kini melarat kepada 153 yang lain di seluruh Selangor. Sepatutnya berunding dengan penternak. Alasan lembu makan pokok kecil adalah perkara remeh dan jangan sampai halau penternak. Selangor mana ada padang ragut dan takkan mahu musnahkan satu hutan bagi tujuan penternakan lembu,” katanya. – KOSMO! ONLINE