SHAH ALAM – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa proses pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Institut Sukan Negara (ISN) sedang berjalan lancar, dengan fokus memastikan persiapan atlet negara tidak terjejas.
Hannah yang ditemui pada Majlis Penyerahan Kenderaan kepada Pemenang Pingat Sukan Paralimpik Paris 2024, di ruang pameran Chery Glenmarie, Shah Alam memaklumkan jawatan tersebut telah diiklankan dan menarik lebih 19 permohonan daripada calon dalam dan luar perkhidmatan awam.
“Kita telah mengadakan sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi ISN untuk mendengar pandangan mereka. Proses temuduga dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kita nantikan keputusannya. Fokus kami adalah memastikan kesinambungan perkhidmatan agar persiapan atlet untuk kejohanan utama tidak terganggu,” katanya.
Hannah menjelaskan, Ahmad Faedzal Md Ramli yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 24 Februari depan, telah berkhidmat selama enam tahun mengikut peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Ini adalah proses biasa di mana CEO sedia ada perlu membuat penggiliran setelah selesai tempoh perkhidmatan mereka. Kami ingin memastikan ISN, sebagai agensi penting yang menyokong atlet negara, terus memberikan perkhidmatan terbaik,” tambah beliau.
Faedzal mula memegang jawatan sebagai CEO ISN pada 25 Februari 2019, menggantikan Dr. Mohd Khairi Zawi dan sebelum itu beliau merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Hannah turut menekankan pentingnya proses pemilihan yang teliti bagi memastikan CEO baharu mampu membawa hala tuju ISN ke tahap lebih tinggi, terutama menjelang kejohanan besar yang bakal dihadapi atlet negara. – KOSMO! ONLINE.