SEREMBAN – Seorang pemandu lori dan tiga penjaga stor warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu 3339.7 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen pada minggu lalu.
Tertuduh, M.Mahendran, 28, yang merupakan warga tempatan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Manakala pertuduhan bagi tiga lagi tertuduh warga Myanmmar iaitu Maung San Lin, 43, Sawt Myint Thaung, 42, dan Saw Pa So Gay, 30, tidak dapat dibacakan pada prosiding hari ini memandangkan mereka tidak memahami Bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan bagi Mahendran, dia dan tiga tertuduh warga Myanmar bersama-sama dengan seorang yang masih bebas didapati telah ada dalam jagaan barang kawalan berjadual iaitu LPG sejumlah 3339.7 kg.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4.30 petang di Premis Tanpa Nama, Lot 52599, Kampung Ribu, Off Kampung Sawah, di Rantau pada 15 Januari lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan Mahendran diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berdekatan sekali sebulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari depan dengan kehadiran jurubahasa Myanmar bagi membaca semula pertuduhan bagi tiga lagi tertuduh warga asing itu. – KOSMO! ONLINE