BANGKOK – Percutian impian bertukar menjadi kenangan pahit buat seorang pelancong dari Brunei selepas dia menjadi mangsa penipuan pakej pasar terapung di Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Pelancong itu ditipu lebih 80,000 baht (RM10,000) selepas dia menempah pakej mewah pasar terapung.
Pada mulanya, dia menempah pakej itu pada harga 3,998 baht (RM500) yang merangkumi pakej menaiki bot persendirian, kembara gajah dan fotografi harimau.
Disebabkan teruja untuk membayar, dia menyerahkan kad debitnya kepada penjual.
Sejurus kemudian, dia menerima pemberitahuan mengenai caj yang dikenakan sebanyak 83,460 baht (RM11,000), 10 kali ganda daripada jumlah yang dijangkakan.
“Pada mulanya, peniaga itu enggan mengaku kesilapan tetapi saya tunjukkan resit sebagai bukti. Akhirnya, dia bersetuju untuk membayar balik,” ujarnya.
Pelancong tersebut terpaksa menghubungi bank di Brunei dan Thailand setelah mengetahui ia akan mengambil masa sehingga 14 hari untuk dia mendapatkan semula wang tersebut. – AGENSI