fbpx

K2

Mira srikandi PUBG, ‘rusher’ digeruni musuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIRA juarai K188 e-Battle Madani Ladies 2024.

DALAM dunia e-sukan yang sering kali dikuasai oleh lelaki, terdapat wanita luar biasa yang memecahkan stereotaip dan membuktikan bahawa kehebatan bermain permainan video tidak mengenal jantina.

Mira Raihana Razali bukan lagi nama yang asing dalam kalangan peminat PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile setelah membuktikan kemampuannya ‘menakluki’ pelbagai kejohanan sepanjang bergelar atlet e-sukan.

Antara pencapaian terbaharunya adalah apabila dia berjaya membantu pasukannya, Smart Digital E-Sports Academy (SDESA) untuk merangkul gelaran juara PUBG KBS My Ladies 2024 anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

Selain itu, atlet yang kini berusia 23 tahun tersebut turut mencipta kejuaraan di Kejohanan (acara jemputan) Muay Thai TYT 2023, PEA Amateur (ladies) 2023, Sakarapi Empire Esport Challenger PUBG Ladies 2023, DLY Fast Tournament 2023, KBS Ladies 2023, JAE mini Tournament 2024, The Gringos Esport Mini Tournament Ladies 2024, K188 e-Battle Madani Ladies 2024 dan Battlefield Queen Ladies 2024.

Mengimbau penglibatannya dalam sukan e-sukan, Mira mengakui tidak menyangka hobi yang mula dipupuk pada usia 16 tahun mampu menjadi kariernya pada suatu hari nanti.

“Sewaktu di bangku sekolah menengah, saya sememangnya aktif bersukan dalam acara balapan dan bola baling sehingga pernah dinobatkan sebagai olahragawati sekolah.

“Namun ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Oleh kerana tidak boleh bersukan, saya fokus pada sukan e-sukan yang kemudiannya mendorong saya untuk menyertai kejohanan PUBG wanita anjuran universiti,” katanya kepada K-Remaja.

Sememangnya tuah badan, anak bongsu kepada dua beradik tersebut mempamerkan aksi mengagumkan dalam pentempurannya sehingga berjaya meraih gelaran juara.

Kemenangannya itu mencuri tumpuan pencari bakat e-sukan wanita sekali gus dilamar mereka untuk menyertai pasukan profesional pertamanya iaitu Ivict Sassy pada April 2021.

Namun perjalanannya bersama pasukan tersebut tidak bertahan setelah ia dibubarkan tidak lama kemudian dan Mira diserap masuk dalam pasukan baharu iaitu HomeGirls pada April 2022.

Mira dan seorang lagi ahli, Ica (Fatin Amisa) merupakan ahli original HomeGirls yang masih dikekalkan biarpun pasukan tersebut membuat perubahan dengan memasukkan barisan ahli baharu iaitu Lucy (Nuralya Syasya) dan Fiy (Nur Afifah) pada tahun 2023.

Bagaimanapun kini, keempat-empat ahli pasukan tersebut sudah tidak lagi di bawah nama HomeGirls apabila beralih di bawah pasukan tajaan baharu iaitu SDESA pada hujung tahun lalu.

Dalam pasukan, Mira memainkan peranan sebagai rusher iaitu pemain yang secara agresif berhadapan dengan musuh dan mengambil inisiatif untuk menyerang.

Mereka melakukan scrim (latihan bersama ahli pasukan) lebih kurang empat jam pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Mengulas lanjut, wanita yang tinggal di Subang Selangor itu berkata, kunci kejayaan pasukannya adalah pada keghairahan ahli-ahlinya untuk lakukan serangan berbanding bermain dalam mod selamat.

“Gaya permainan kami adalah cari musuh dan serang kerana kebanyakan pemain-PUBG wanita di Malaysia masih lagi suka bermain dalam zon selamat terutama ketika kejohanan.

“Kami tidak suka duduk lama-lama dalam permainan sampai zon tutup kecuali ketika zon jadi mengecil dan kawasan semakin padat,” katanya yang meletakkan Zuxxy, pemain pro PUBG berasal Indonesia sebagai inspirasi.

Sedikit pengetahuan, PUBG merupakan permainan video dalam genre battle royale yang dicipta oleh Brendan Greene dan dibangunkan oleh PUBG Corporation iaitu anak syarikat Krafton.

Ia pertama kali dilancarkan pada 23 Mac 2017 untuk PC melalui platform Steam, diikuti oleh pelbagai versi untuk konsol dan peranti mudah alih seperti PUBG Mobile.

Permainan bertemakan survival tersebut menyaksikan pemain bersaing untuk menjadi pasukan terakhir bertahan dalam perlawanan yang melibatkan hingga 100 pemain.

Sewaktu permainan, pemain perlu mencari senjata, peralatan dan bekalan dari bangunan atau kawasan tertentu.

Kemudian, zon permainan secara beransur-ansur mengecil sehingga memaksa pemain untuk bertempur dalam kawasan yang lebih kecil.

Pemain terakhir atau pasukan terakhir yang bertahan akan memenangi permainan dan mendapat ‘Chicken Dinner’.

Mira turut menjana pendapatan menerusi aktiviti penstriman.

Terdapat empat mod perlawanan dalam PUBG iaitu solo (seorang pemain bertempur melawan pemain lain), duo (bermain bersama seorang rakan pasukan), squad (pasukan hingga empat orang) dan arcade modes di PUBG mobile (mod dengan perlawanan lebih pendek atau peraturan khas).

Tambah Mira, cabaran menjadi atlet wanita dalam arena PUBG adalah kekurangan penganjuran kejohanan wanita yang kompetitif dalam pelbagai peringkat menyebabkan mereka tidak menonjol seperti platform permainan-permainan lain.

Ujarnya, bukan tidak mahu bermain dalam kejohanan yang bersifat terbuka yang melibatkan lelaki, namun Mira akui pasukan lelaki memiliki corak permainan yang lebih laju.

“Saya pernah bermain satu pasukan dengan lelaki. Walaupun kami merangkul kejuaraan, tetapi corak permainan sebagai satu pasukan sememangnya berbeza kerana lelaki bermain dengan laju.

“Lagipun, ahli lelaki memiliki kecenderungan untuk memandang rendah ahli perempuan kerana wanita dianggap tidak agresif dan cekap seperti mereka,” katanya.

Biarpun begitu, Mira tetap menggalakkan wanita yang berbakat dalam sukan PUBG untuk meneruskan minat mereka kerana kerjaya dalam sukan tersebut tidak terhad sekadar sebagai atlet.

Ini kerana Mira turut menjana pendapatannya sebagai penstrim PUBG dengan meluangkan masa lebih kurang dua jam berbual dengan peminat sambil bermain.

Katanya, cabaran menjadi penstrim berbeza berbanding menjadi seorang atlet kerana dia perlu petah bercakap agar penonton tidak bosan melihatnya bermain.

“Dengan adanya peningkatan jumlah pemain wanita, tidak mustahil PUBG akan memperbanyak lagi kejohanan khas untuk wanita di peringkat antarabangsa.

“Tetapi buat masa ini, mereka yang berminat dan berbakat masih lagi boleh menjana pendapatan menerusi penstriman,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI