BERPELUANG untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi merupakan impian setiap orang.
Malah, ada yang menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara, namun tidak dapat berbuat demikian kerana kekurangan dana.
Bagi membantu mereka di luar sana untuk menggapai impian tersebut, agensi pendidikan Malaysian British Educational Cooperation Services (MABECS) menawarkan biasiswa untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian.
Sejak 1985, MABECS telah diasaskan dengan satu matlamat, iaitu untuk membantu dan memperkasakan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi di United Kingdom (UK).
Pada 2023, biasiswa MABECS telah diperkenalkan bagi menghormati legasi pengasasnya iaitu David Guard.
Kebaikan dan dedikasi seumur hidup David Guard untuk pendidikan dan membantu orang lain terus menjadi inspirasi pertubuhan berkenaan untuk menawarkan biasiswa.
Untuk biasiswa MABECS tahun ini, mereka menjalinkan kerjasama dengan University of Birmingham di UK, Queen Mary University of London (UK), University of Warwick (UK), University of St Andrews (UK) dan Nelson Marlborough Institute of Technology di New Zealand.
Para pelajar berpeluang untuk memohon biasiswa MABECS bagi melanjutkan pengajian di universiti-universiti tersebut.
Biasiswa yang ditawarkan merangkumi lapan biasiswa penuh untuk program pengajaran lepasan ijazah (PGT) dan 10 biasiswa separa untuk program Sijil, Diploma, Sarjana Muda atau Sarjana.
Mereka yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai biasiswa MABECS boleh mengunjungi Pameran Biasiswa yang akan diadakan pada 8 Mac ini bermula 10 pagi hingga 2 petang di The Space, Aras 2, Menara KEN TTDI, Kuala Lumpur.
Selain itu, pemohon juga boleh mengunjungi laman web, mabecs.com/scholarships. – KOSMO! ONLINE