SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan percubaan penyeludupan mercun bernilai RM629,320 menerusi satu serbuan di sebuah gudang dekat Beranang, Selangor pada 14 Januari lalu.
Menurut Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Raizam Mustapa, serbuan itu merupakan kejayaan pertama kastam untuk tahun ini selain boleh dianggap sebagai antara yang terbesar.
Katanya, siasatan awal mendapati barangan itu diimport melalui Pelabuhan Klang, Selangor dari negara Asia Timur.
“Pengimport didapati membuat pengikraran tidak benar yang diisi dalam Borang Kastam 1 (Dokumen Import) membabitkan sejumlah 1,330 buah kotak berisi mercun.
“Produk juga tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan permit import (AP) oleh pihak Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, seorang lelaki tempatan berusia 50-an turut ditahan ketika serbuan. – KOSMO! ONLINE