KOTA TINGGI – Wanita yang ditemukan lemas bersama anak saudaranya ketika mandi-manda di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai, Pengerang di sini semalam sempat membuat panggilan video kepada suami beberapa minit sebelum kejadian.
Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata, isterinya, Siti Fatimah Jaafar, 33, bersama kira-kira 20 ahli keluarga pergi ke tempat peranginan itu sejak Isnin lalu untuk bercuti.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di lokasi kerana pulang ke rumah sebentar di Sungai Tiram untuk mengambil barang milik isterinya.
“Pada pukul 5 petang isteri menghubungi saya melalui panggilan video. Saya berasa pelik kerana biasanya dia call (hubungi) biasa tak pernah buat panggilan video.
“Ketika (panggilan video) itu mukanya saya lihat betul-betul cantik. Dia berpesan jangan lupa ambil barangnya. Saya sempat tanya keadaan anak-anak dia beritahu semuanya okey.
“Saya sempat mengusiknya minta dia cakap ‘i love you’ tetapi dia beritahu malu kerana ramai orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, di sini hari ini.
Selain Siti Fatimah, turut terkorban anak saudaranya, Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13.
Bapa tiga anak itu berkata, beberapa minit kemudian dia menerima panggilan daripada anak saudaranya memaklumkan anaknya serta tiga anak buahnya lain lemas.
Abu Mansur berkata, arwah merupakan isteri dan ibu yang sangat baik selain suka bersedekah. – KOSMO! ONLINE