fbpx

‘Sebagai ibu, tertuduh tidak sepatutnya pukul mangsa sehingga menyebabkan kematian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang hari ini.

AMPANG – Seorang ibu dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mendedahkan anak kandungnya berusia enam tahun kepada kecederaan fizikal sehingga meninggal dunia.

Hakim Norshila Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas tertuduh berusia 25 tahun selepas wanita tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diikat jamin bon berkelakuan baik selama dua tahun selain dilarang memelihara dan menjaga kanak-kanak selama lima tahun selepas selesai hukuman penjara.

Tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dengan cara memukul, mencubit dan menampar sehingga meninggal dunia.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang di sini antara pukul 2 petang, 8 Januari hingga 6 petang, 9 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu ketika rayuan, peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan memohon anak guamnya itu dikenakan hukuman denda atas alasan wanita itu telah menyesal.

“Tertuduh ibu kepada dua anak iaitu mangsa dan seorang lagi berusia enam bulan. Telah berkahwin namun dalam proses penceraian. Tertuduh menganggur dan menanggung dua anaknya semasa berpisah sementara dengan suami .

“Tertuduh tiada pendapatan menyesal dan sedih atas apa yang berlaku selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran selain menyifatkan kesalahan itu adalah serius sehingga nyawa anak kandung tergadai.

“Sebagai ibu kandung, tertuduh tidak sepatutnya memukul, mencubit dan menampar mangsa sehingga menyebabkan kematian,” kata Muhammad Hairuliqram.

Mengikut fakta kes, wanita itu memaklumkan mangsa mengalami demam panas dan sawan, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian mangsa adalah trauma tumpul di bahagian kepala dan abdomen.

Hasil rakaman percakapan tertuduh mendapati mangsa dipukul, ditampar, dicubit dan dimarahi wanita itu kerana sentiasa menangis serta tidak membuang air kecil dan besar dengan teratur, tertuduh juga membiarkan mangsa yang demam serta tidak menghantarnya ke hospital.

Sementara itu di Mahkamah Majistret teman lelaki wanita itu didakwa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Reza Zainurin, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dua bulan di tempat sama pukul 2.36 petang pada 10 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani manakala teruduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian 24 Mac bagi sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada 11 Januari lalu, Kosmo! melaporkan polis Selangor mengesahkan menerima laporan berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa dera oleh ibunya bersama teman lelaki wanita itu di Taman Bukit Ampang, dekat sini.

Terdahulu, media melaporkan, kanak-kanak terbabit dibiar demam tanpa rawatan sehingga sawan selain dipukul dengan rotan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI