MARANELLO, Itali – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton menyifatkan hari pertamanya sebagai pemandu Ferrari sebagai detik bersejarah dalam kariernya, sekali gus menandakan permulaan era baharu bersama pasukan ikonik itu.
Hamilton, 40, memulakan tugas pertama sebaik tiba di pangkalan utama Ferrari di Maranello, Itali kelmarin untuk berjumpa dengan pasukan tersebut termasuk peminat yang berada di luar menanti kehadiran bekas pemandu Mercedes tersebut.
Pemandu kelahiran Britain tersebut merasakan kehadirannya disambut baik dan tidak sabar untuk membuka era baharu kariernya dalam perlumbaan F1.
“Hari ini adalah kenangan yang tidak saya dapat lupakan. Sebagai pelumba, impian untuk berlumba dalam warna merah Ferrari adalah sesuatu yang tidak pernah hilang daripada diri saya dan akhirnya dapat merealisasikan impian itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada John Elkann, Benedetto Vigna dan Fred Vasseur atas kepercayaan mereka kerana menjadikan saya sebahagian daripada keluarga ini.
“Saya sangat teruja untuk memulakan era baharu ini dan bekerja dengan kumpulan individu berbakat yang turut menyambut saya dengan begitu mesra,” katanya.
Hamilton yang memenangi gelaran juara dunia terakhirnya pada 2020, dijangka menghadapi cabaran besar untuk menyesuaikan diri dengan Ferrari selepas 18 tahun beraksi menggunakan enjin Mercedes.
Bagaimanapun, ketua pasukan Ferrari, Vasseur meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Hamilton untuk menyesuaikan diri dengan cepat bersama jentera pasukan itu.
“Dia datang dengan pengalaman luas dan itu adalah kelebihannya. Saya yakin dia mampu mengatasi cabaran ini dengan baik,” kata Vasseur.
Hamilton dijadualkan menguji kereta Ferrari musim 2023 di Litar Fiorano minggu ini sebagai persediaan menjelang pelancaran kereta baharu pasukan itu pada 19 Februari nanti.
Pelumba Britain itu akan bergandingan dengan Charles Leclerc musim ini menjadikan Ferrari antara pasukan yang bakal mencuri perhatian ketika musim baharu F1 membuka tirai di Litar Melbourne, Australia pada 14 hingga 16 Mac depan. – AGENSI