ALOR SETAR – Kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini semalam yang meragut dua nyawa disiasat sebagai kes bunuh angkara dendam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya menahan lima lelaki sejurus selepas kejadian menyayat hati tersebut.
Katanya, tangkapan pertama lelaki berusia 29 tahun yang juga ahli keluarga terdekat mangsa, Ibrahim Mydin, 61, yang ditemukan rentung dalam kejadian itu.
“Suspek merupakan penagih dadah tegar. Selepas itu kita menahan tiga lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar berusia 19 hingga 53 tahun.
“Tiga daripada mereka positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini hari ini.
Menurut Fisol, tiga daripada lima suspek yang ditahan disyaki perancang utama kejadian kebakaran tersebut.
“Ahli keluarga terdekat si mati tinggal tidak jauh dari rumah mangsa. Penahanan ke atas suspek pertama dibuat apabila mangsa pernah membuat laporan telefon bimbitnya dicuri sehari sebelum kejadian.
“Bagaimanapun, dia menarik semula laporan polis tersebut.
“Mangsa dikatakan menarik balik laporan itu selepas suspek menyerahkan semula telefon bimbit tersebut,” ujarnya.
Suspek utama tidak bekerja dan mempunyai rekod jenayah serta dadah.
Jelasnya, kelima-lima suspek direman sehingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Selain itu, katanya, siasatan di lokasi kejadian oleh pihak forensik bomba dan polis menemui botol berisi petrol dan kesan petrol.
“Salah seorang suspek dipercayai mencurahkan petrol dan membakar rumah tersebut sehingga menyebabkan dua maut,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini semalam dipercayai warga emas berusia 61 tahun dan anak angkatnya berusia 23 tahun.
Mangsa dipercayai pemilik rumah, Ibrahim Mydin dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini yang tinggal di rumah tersebut.
Identiti sebenar mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan sehingga ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan berikutan keadaan mayat yang rentung. – KOSMO! ONLINE