SHAH ALAM – Penantian lima tahun seorang pemilik kedai alat perkakas bagi mendapatkan kad pengenalan anak angkatnya termasuk pernah ditipu sebanyak RM25,000 berakhir apabila menerima kad berkenaan hari ini.
Mellisa Chen, 50, berkata, anak angkatnya diambil pada usia tiga tahun tanpa sebarang dokumen daripada seorang jiran wanita warga Indonesia yang sering meninggalkan anaknya itu untuk dijaganya.
Katanya, pelbagai prosedur terpaksa dilalui termasuk membuat laporan polis lebih 10 kali bagi tujuan mendapatkan maklumat daripada sebuah hospital di Klang yang merupakan lokasi kelahirannya.
“Saya ambil anak tersebut tanpa sebarang dokumen. Empat tahun terpaksa menunggu dan berhempas pulas sebelum mendapatkan surat beranaknya atas nama saya selepas disahkan pendaftaran anak angkat.
“Hasilnya, anak tersebut dalam bersekolah pada usia tujuh tahun. Dalam tempoh itu juga saya kemudiannya memohon kad pengenalan termasuk diperdaya RM25,000 oleh ejen,” katanya hari ini.
Anak Melissa kini yang berusia 12 tahun antara 22 penerima kad pengenalan dan surat beranak yang disampaikan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu di pejabat Exco tersebut.
Jelas Melissa yang belum berkahwin itu, dia tidak menyesal sebaliknya bersyukur membawa kehidupan lebih bermakna kepada anak angkatnya menerusi bantuan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MySel)
Sementara itu, Papparaidu menjelaskan, sebanyak 2,522 kes telah berjaya diselesaikan daripada 6,545 permohonan sejak September 2018 hingga November 2024.
Ujarnya, permohonan daripada pelbagai bangsa dengan paling ramai adalah kaum Melayu dengan 2,825 kes.
“Tempoh kelulusan ada yang mengambil masa sehingga tujuh tahun bagi membuktikan dan mengesahkan semua dokumen,” katanya. – KOSMO! ONLINE