KULAI – Seorang pemandu e-hailing berusia 65 tahun berputih mata setelah mengalami kerugian RM149,334 apabila terjerat penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian, November lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, keuntungan lumayan sebanyak RM3.33 juta (USD$750,000) dalam tempoh dua minggu menyebabkan mangsa membuat 22 transaksi pembayaran berjumlah RM149,334 ke dalam 12 akaun berbeza bermula 12 November hingga kelmarin.
Seng Lee berkata, mangsa membuat semakan dan mendapati memperoleh keuntungan RM1.61 juta (USD$362,702).
“Mangsa cuba mengeluarkan keuntungan tersebut namun mendapati akaunnya disekat dan menyedari dirinya ditipu. Mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE