ALOR SETAR – Keluarga Muhammad Aqil Hilmi Mohd. Yusdi, 16, resah selepas remaja itu menghilangkan diri sejak minggu lalu.
Bapa saudaranya, Mohd. Yusmarizal Mohd. Yusuf, 42, berkata, anak saudaranya yang menghuni sebuah maahad tahfiz di Kubur Panjang, Pendang dilaporkan hilang dari asrama sekolah agama itu pada 15 Januari lalu.
“Kami dimaklumkan oleh guru maahad pada 15 Januari lalu bahawa Aqil hilang dari asrama bersama seorang rakan selepas mereka tidak hadir ke kelas. Satu laporan polis dibuat pada malam kejadian.
“Kini sudah seminggu dia hilang entah ke mana dan keluarga terutama ibunya (Yuhainis Baharuddin) sangat sedih dan risaukan akan keadaannya. Kalau Aqil baca berita ini, pulanglah, semua rindu dan risau tentang Aqil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Muhammad Aqil Hilmi yang juga anak bongsu daripada empat beradik dikatakan sudah lebih setahun belajar di maahad tahfiz tersebut.
“Saya dan bapanya (Mohd. Yusdi Mohd. Yusuf) sudah mencari Aqil di merata tempat. Kami merayu jika ada sesiapa tahu keberadaan Aqil hubungi saya menerusi 018-3529887 atau hubungi balai polis berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE